Thursday, December 23, 2010

Kedah mungkin terpaksa tiru Singapura

ALOR SETAR - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu menggiatkan tugas penguatkuasaan bagi memastikan sasaran Kedah Bersih dan Indah dapat direalisasikan di seluruh negeri.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar & Basmi Kemiskinan, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, penguatkuasaan adalah elemen paling berkesan untuk mendidik rakyat menghargai kebersihan, selain menggiatkan kempen kebersihan.

“Kemungkinan kita akan laksanakan langkah penguatkuasaan seperti di Singapura jika rakyat masih tidak endah dan membuang sampah merata-rata. Tahap kesedaran penduduk di sini masih rendah dan budaya membuang sampah seakan sudah sebati, sebab itu agak sukar kita laksanakan kempen kebersihan,” katanya ketika melancarkan Laman Orkid di pekarangan Stadium Darul Aman.

Menurutnya, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) sudah mula mengorak langkah mengenakan kompaun serta merta terhadap pesalah yang membuang sampah, dan kini dalam perancangan menaikkan denda.

“Peruntukan undang-undang sudah ada cuma penguatkuasaan perlu ditingkatkan. Sudah tiba masanya kita tegas menguatkuasakan undang-undang supaya timbul kesedaran dalam kalangan rakyat,” katanya.

Ir Phahrolrazi berkata, tempat-tempat awam juga harus dilengkapi lebih banyak tong sampah, selain menambah anggota penguatkuasa untuk memantau sekitar bandaraya ini.

“Sampah adalah masalah yang serius di Kedah. Kita tidak mahu lagi Kedah dikaitkan dengan stigma Bandaraya Sampah dan inisiatif ini harus bermula daripada sekarang,” katanya.

Peniaga kecil juga diingatkan supaya menjaga kebersihan tapak dan tidak meninggalkan sampah setelah selesai berniaga, di mana situasi ini adalah lumrah di negeri ini.

“Peniaga harus lebih bertanggungjawab, tidak bolehlah tinggalkan sampah di tapak termasuk bahu jalan. Bila kita nak lupuskan tapak niaga mereka, mereka bantah, tetapi berdegil enggan jaga kebersihan,” katanya.

Ir Phahrolrazi berkata, mulai sekarang, penjaja tidak dibenarkan berniaga di bahu jalan di jalan raya empat lorong kerana MBAS akan membina landskap menarik selain untuk melancarkan lalu lintas.


kedahlanie

No comments: